MUAR: Keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada 18 Mac lalu, disifatkan sebagai ‘keputusan besar dan berani’.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan kebanyakan negara di serata dunia pada masa itu, masih teragak-agak memberikan respon dan tindakan berbeza-beza dalam menangani penularan COVID-19, yang merupakan satu krisis global dan disifatkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu berkata, selain PKP, keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan, yang dilakukan bertujuan mengekang penularan wabak dalam komuniti, telah berjaya melandaikan lengkung jangkitan wabak COVID-19.

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, usaha paling kukuh telah diambil untuk menangani penularan COVID-19, iaitu dengan melaksanakan PKP dan keputusan itu telah berjaya melandaikan lengkung jangkitan wabak COVID-19.

“Malaysia diiktiraf sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam mengawal pandemik COVID-19, malah telah menjadi salah satu negara contoh, iaitu penerimaan rakyat terhadap tindakan kerajaan dalam mengekang wabak berkenaan, yang mendapat pengiktirafan dunia dalam satu tinjauan global,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di sini hari ini.

Pelancaran yang disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Sukan Pagoh di sini turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Beliau bagaimanapun berkata, sikap masyarakat yang alpa patuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pensanitasi, terutama di kawasan awam yang sesak, telah meningkatkan risiko penularan dan mengundang gelombang baharu jangkitan, sehingga kes harian jangkitan COVID-19 yang sebelum ini turun kepada satu angka, kini meningkat semula kepada angka dua digit, dengan kemunculan kluster baharu.

Sehubungan itu Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Kempen Pembudayaan Norma Baharu, bagi meningkatkan kesedaran dan memperkasa rakyat melindungi diri, keluarga dan komuniti, dalam usaha membantu petugas barisan hadapan, memerangi jangkitan COVID-19.

Beliau berkata program-program di bawah Kempen Pembudayaan Norma Baharu ini, akan dilaksanakan oleh semua Kementerian di peringkat persekutuan dan juga kerajaan-kerajaan negeri.

Ismail Sabri berkata, kempen itu juga akan membabitkan penglibatan semua lapisan kepimpinan termasuk penghulu, ketua kampung, temenggong, pemancha, kapitan, tuai rumah serta imam dan ahli jawatankuasa masjid, tok batin dan ketua-ketua agama dari  bandar raya besar, bandar-bandar kecil sehingga kampung di desa.

“Kempen ini menyasarkan penyebaran maklumat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada segenap lapisan masyarakat, akan turut membabitkan penggunaan pelbagai platform seperti media massa, media sosial, papan iklan, jerayawara, program keagamaan, penerbitan poster dan gegantung, yang akan terus digiatkan sehingga 31 Dis ini.

“Oleh itu, pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat harus bersama-sama meningkatkan kawalan kendiri, bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti, daripada jangkitan virus COVID-19 dan memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak ini,” kata beliau.

Pada majlis hari ini, Perdana Menteri telah melancarkan kempen tersebut, serta melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Komuniti yang diterbitkan KKM.

– BERNAMA