IPOH: Keputusan Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah adalah satu referandum sokongan dan keyakinan rakyat terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui negara di sebalik percubaan pembangkang menggugat kestabilan kepimpinan kerajaan Persekutuan.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia sekaligus memberi isyarat yang amat jelas bahawa rakyat Sabah menyokong segala usaha kerajaan Persekutuan dalam membela kebajikan rakyat dan usaha menjana semula ekonomi negara yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Menurutnya, Bersatu mengucapkan penghargaan kepada pengundi di Sabah yang telah memberi kepercayaan yang telah memberi kepercayaan kepada Perikanan Nasional (PN) bersama rakan-rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan negeri.

Beliau berharap, dengan selesainya PRN Sabah akan menamatkan kemelut politik di negeri Sabah.

“Kerajaan negeri GRS yang akan dibentuk perlu diberikan ruang untuk memberi sepenuh perhatian kepada usaha membela nasib rakyat dalam keadaan kita masih berperang melawan penularan pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata, komitmen Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu untuk membantu kerajaan negeri Sabah menunaikan semua akujanji kempen PRN Sabah adalah hadiah yang paling bernilai buat rakyat negeri itu, di atas kepercayaan yang diberikan kepada wakil rakyat GRS.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada jentera parti-parti komponen GRS yang telag bekerja dengan komited dari awal sehingga akhir tempoh berkempen.

“Kejayaan ini membuktikan kerjasama dan penyatuan yang begitu utuh di kalangan rakan-rakan dalam GRS biarpun ia ditubuhkan dalam tempoh yang begitu singkat,” ujarnya.