PUTRAJAYA: Keputusan sama ada kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pentadbiran di Sabah susulan peningkatan kes COVID-19 akan diumumkan petang ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulah, berkata perkara itu dibincangkan hari ini kerana penularan di Sabah semakin membimbangkan apabila dua lagi kluster baharu dikesan semalam.

Katanya, kerajaan tidak boleh melaksanakan PKPD Pentadbiran ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah supaya tidak menyekat kebebasan rakyat negeri itu untuk mengundi.

“Memandangkan PRN Sabah sudah berakhir, mungkin kita boleh laksanakan PKPD Pentadbiran bagi mengawal penularan pandemik itu.

“Sehubungan itu, keputusan sama ada PKPD Pentadbiran dibuat di Sabah akan diumumkan petang ini,” katanya selepas merasmikan Seminar Jururawat Kanser Payudara Malaysia Ke-7 di Institut Kanser di sini, hari ini.

Semalam KKM mengenal pasti dua kluster baharu di Sabah iaitu Kluster Buang Sayang di Sipitang dan kluster Kg Sakong di Semporna.

Sebelum ini sebanyak enam kluster dikenal pasti di Sabah terdiri daripada Kluster Benteng LD, Bangau -Bangau, Bakau, Pulau, Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau.