IPOH: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengesan rangkaian pembekal kepada pengusaha laksa yang membabitkan 83 kes keracunan, termasuk dua kematian, di Perak, Kedah dan Selangor.

Langkah pengesanan itu penting bagi mengelakkan kes keracunan makanan daripada merebak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, peniaga laksa berkenaan mungkin mendapatkan bekalan laksa dan bahan-bahan berkaitan daripada pihak lain.

“Mungkin yang terlibat hanya peniaga itu sahaja tetapi pembekal laksa, pembekal bahan2 makanan tu mungkin daripada orang lain. Jadi kita mesti trace punca dari mana supaya penyakit keracunan ini tidak merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program gotong royong membasmi denggi di padang Medan Pengkalan Mutiara di sini, hari ini.

Kelmarin, tiga kes baharu dilaporkan di Perak disyaki berpunca daripada memakan laksa yang dibeli.

Dr Boon Chye berkata, kementerian akan mengambil tindakan terhadap peniaga sekiranya keracunan makanan itu berpunca daripada laksa. 

Menurut beliau, tindakan dilakukan mengikut Akta Makanan 1983 selepas keputusan ujian sampel makanan diperolehi, selewat-lewatnya Selasa ini. 

“Sampel-sampel telah diambil untuk analisa dan ada kuman dalam sampel tersebut cuma kita tunggu untuk kenalpasti jenis kuman,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan supaya aspek kebersihan perlu diutamakan dalam pengendalian dan  penyediaan makanan.

“Perkara ini penting kerana melihat kes keracunan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan malah perniagaan mereka sendiri,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau menasihatkan komuniti setempat supaya memastikan kawasan tempat tinggal mereka bebas daripada tempat pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berharap agar jawatankuasa Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) yang tidak aktif, dapat diaktifkan semula.

Menurut beliau, walaupun kes denggi menunjukkan trend menurun lebih 50 peratus di Perak, tidak mustahil ia menigkat semula sekiranya tiada langkah berterusan.