LARUT: Kerajaan akan menggempur kumpulan pengganas yang masih wujud di negara ini supaya mereka tidak melanggar undang-undang dengan sewenang-wenangnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan
telah mengenal pasti terdapat kumpulan tertentu yang masih tersenarai sebagai kumpulan pengganas di negara ini.

Tegasnya, jika mereka berani mengugut, pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya seperti di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Maka sebab itu saya minta kepada PDRM supaya berhati-hati dan nak memastikan kumpulan-kumpulan ini akan kita serang habis-habisan, mereka mengugut kita, maka sebab itu kita juga harus mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Kita akan pastikan kumpulan ini sekali lagi akan ditangkap dan dihapuskan daripada berada begitu sewenang-wenangnya melakukan segala apa yang mereka nak lakukan dalam negara kita,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 150 mangsa banjir di Dewan Semai Bakti, Felda Ijok, di sini, hari ini.

Pada Isnin, media melaporkan seorang lelaki mendakwa dirinya ketua komander kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) 2.0 mengugut mahu menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Individu terbabit yang menghantar ugutannya melalui e-mel kepada pihak media turut mendakwa akan menyerang Sri Lanka selepas serangan itu.

Dia juga mendakwa akan menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Susulan itu, pada Selasa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata, polis sedang memburu seorang lelaki dikenali sebagai Sebastian yang membuat ugutan itu.

Beliau berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kes itu dan sedang mengesan suspek.

Hamzah menasihatkan rakyat supaya bersabar dan jangan bimbang kerana pihak polis berada di seluruh negara untuk menjaga keselamatan mereka.