KUALA LUMPUR : Kerajaan akan memastikan vaksin COVID-19 yang memasuki Malaysia menepati tiga syarat utama ditetapkan iaitu selamat, berkesan dan stabil.

Bagi memastikan ketiga-tiga syarat itu dipatuhi, vaksin itu akan melalui proses penilaian dan pengujian daripada badan pengawal selia yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, apabila sampai ke Malaysia, vaksin itu juga tertakluk kepada syarat ketat ditentukan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Malaysia sangat menekankan tiga perkara terhadap apa-apa vaksin yang mahu diguna pakai dalam negara kita. Pertama ia mestilah selamat.

“Vaksin apabila digunakan, sudah tentu sama juga dengan ubat, vaksin mungkin akan ada kesan sampingan tapi kita tak mahu ada kesan sampingan teruk yang boleh jejaskan populasi rakyat Malaysia.

“Maka kerana itu, Malaysia akan pastikan vaksin itu selamat,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI pada Ahad.

Tambah beliau, vaksin yang sampai ke Malaysia juga harus terbukti berkesan dan setakat ini, kebanyakan vaksin yang dalam pertimbangan kerajaan menunjukkan tahap keberkesanan yang tinggi.

“Ketiga, ia mestilah stabil. Walaupun ia berkesan, baik dan selamat tapi kalau proses untuk kendalikannya menyebabkan ia terjejas dari segi kestabilan vaksin, ia boleh jejaskan keselamatan dan keberkesanan vaksin itu sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata pihaknya juga akan menubuhkan jawatankuasa komunikasi bagi memastikan semua maklumat berkaitan vaksin sampai kepada rakyat.