KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa pihak yang ingin membentuk kerajaan baru dengan mengetepikan Amanah dan DAP boleh mencuba melaksanakan gerakan tersebut.

“Mereka boleh cuba”, katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media forum Yayasan Sejahtera 2019 sempena hari antarabangsa pembasmian kemiskinan di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam PH mendakwa, bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein, bertanggungjawab menggerakkan usaha tersebut dalam membentuk kerajaan baru.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, PH membayangkan gerakan mencadangkan idea itu itu dilakukan Hishammuddin bersama beberapa pihak lain.

Hishammuddin dalam penulisan dan wawancaranya memberi isyarat yang cenderung untuk kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum.

“Ini adalah amalan politik usang yang bercanggah sama sekali dengan politik inklusif yang dipelopori PH,” kata kenyataan itu.

Ia ditandatangani Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Terdahulu semasa berucap di Dewan Rakyat, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, turut membuat kenyataan mengenai usaha pihak tertentu dengan menyentuh pembabitan Hishamuddin.

Ditanya adakah pernah berjumpa Hishamuddin yang juga merupakan anggota parlimen Sembrong untuk mengadakan perbincangan berkenaan perkara tersebut, beliau berkata tidak.

“Tiada, tidak pernah jumpa”, katanya.

Untuk rekod, pada 1 Ogos lalu, Dr Mahathir mengesahkan beberapa pemimpin pembangkang dari Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertemu beliau.

Bagaimanapun, Hishammuddin menegaskan perjumpaan tersebut bertujuan untuk memikirkan masa hadapan negara dan rakyat terutama dalam usaha pengukuhan ekonomi dan perpaduan.