PETALING JAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan keputusan membekukan semua kenaikan kadar tol di seluruh negara tahun ini, sebagai usaha untuk terus membantu rakyat, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata keputusan itu diambil dalam usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat walaupun kerajaan terpaksa menampung kos membayar pampasan lebih RM1 bilion kepada pengendali-pengendali tol.

“Sungguhpun kerajaan telah membekukan kenaikan kadar tol tahun ini, rakyat perlu ingat bahawa apabila kadar tol dibekukan maka kerajaan perlu bayar ganti rugi (pampasan).

“Ini bukan satu angka yang kecil, tentu lagi banyak (wang) kerana kadar (tol) meningkat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri hari bertemu pelanggan di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan, Kelana Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu menanggung lebih RM1 bilion susulan keputusan itu.

Lim berkata rakyat masih boleh menikmati kadar lama di semua tol dan perkara itu akan diteruskan oleh kerajaan PH.

Beliau turut menzahirkan kekesalan kerana kurangnya liputan berhubung keputusan kerajaan mengekalkan keputusan membekukan kenaikan kadar tol yang memberikan impak besar kepada rakyat berbanding isu lain.

Pada 2019, kerajaan membekukan kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya di seluruh negara bagi semua kelas kenderaan, berdasarkan kepada rasa tanggungjawab kerajaan PH untuk meringankan beban sara hidup yang dipikul rakyat. – BERNAMA