GERIK – Penduduk di sekitar Gerik kini mampu memiliki rumah sendiri menerusi inisiatif kerajaan negeri di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

Projek Rumah Amanjaya Gerik yang dibangunkan di atas tapak seluas 21.2 hektar akan mempunyai 500 unit rumah berharga antara RM140,000 sehingga RM170,000.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Rumah Amanjaya merupakan rumah mampu milik setingkat yang dijual lebih rendah daripada harga pasaran itu dibangunkan bagi tujuan meringankan beban rakyat.

46037c90-5123-44a3-a3aa-6e0e5f1d6a47

“Untuk projek ini tanah yang kita kenal pasti adalah seluas 53 ekar (21.2 hektar). Untuk buat rumah, kita bukan hanya tengok tanah cantik…kita ambil dan buat rumah.

“Ada orang ingat buat rumah ini mudah…tanya kenapa jual dengan harga mahal tetapi mereka kena tahu untuk buat rumah kena ada infrastruktur asas dan jenis tanah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Rumah Amanjaya Gerik,Daerah Hulu Perak di Kuarters JKR Base Camp, di sini pada Rabu.

Yang turut sama Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, Mantan Menteri Besar Perak Tan Sri Dato’ Seri Mohamad Tajol Rosli Mohamed Ghazali dan ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim.

Mengulas lanjut, Dr Zambry berkata bawah inisiatif LPHP kerajaan negeri menanggung 70 peratus kos tanah bagi membolehkan projek rumah mampu milik dapat dilaksanakan.

“Secara tidak langsung menerusi LPHP ini, kos tanah itu sendiri kita tanggung hampir 70 peratus bermakna pembeli dapat miliki rumah dengan harga yang amat rendah daripada harga pasaran RM250,000 seunit,”katanya.

Rumah Amanjaya Gerik yang akan dibina itu lengkap dengan ruang tamu, ruang makan, dapur, tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Antara syarat kelayakan bagi memohon Rumah Amanjaya ialah warganegara Malaysia, keutamaan kepada rakyat negeri Perak dan isi rumah tidak melebihi RM10,000 sebulan.

Sehingga kini kerajaan negeri melalui LPHP berjaya membangunkan 10 projek perumahan mampu milik dengan 1,374 unit kesemuannya di seluruh negeri Perak.

Selain itu, turut dibangunkan adalah Projek Khas Perumahan Perwira Negeri Perak di Batang Padang, Perak Tengah dan Manjung khas buat golongan bekas-bekas tentera.