KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan yang dibentuk kelak adalah rencana beliau untuk mengembalikan mandat rakyat.

Beliau berkata, rakyat berhak untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan bukan kerajaan yang mempunyai majoriti tipis di Parlimen.

“Pentadbiran baharu ini akan tetap menjunjung kedudukan agama Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu serta kedudukan istimewa Melayu-Bumiputera disamping jaminan tegas mempertahankan hak warga pelbagai kaum lain.

“Rakyat berhak untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil, dan ia bukan dengan kerajaan majoriti dua kerusi Parlimen,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Anwar dalam sidang media tergempar mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti kukuh dan meyakinkan daripada ahli Parlimen pelbagai parti dan pihak kerajaan untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.