KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti pilihan perundangan, termasuk menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2005 (Akta 655) bagi merungkai krisis bekalan air di Selangor.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata penyelesaian ‘jalan’ terakhir itu berlandaskan kepentingan menjaga keselamatan air negara itu bakal menyaksikan semua aset dan pengurusan dikendalikan kerajaan.

“Jika situasi ini berlarutan, kerajaan akan lihat opsyen yang ada daripada segi perundangan, termasuk meneliti balik Akta 655.

“Bagaimanapun, saya harap akan ada ‘willing buyer, willing seller’ supaya kita tidak perlu gunakan Akta 655,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak) ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Khalid yang juga bekas Menteri Besar Selangor, meminta perincian kerajaan mengenai kemungkinan menggunakan kuasa perundangan menerusi Akta 655 untuk menyelesaikan krisis air di Selangor yang sehingga kini tiada penghujung.

Pertimbangan itu katanya perlu dilaksanakan secepat mungkin selepas kerajaan memperuntukkan RM6.65 bilion sebagai pemudah cara terhadap usaha penstrukturan semula bekalan air Selangor, selain mengelakkan risiko pembayaran faedah yang tinggi.

Maximus berkata, langkah pertama penstrukturan sehingga menyaksikan pengambilalihan tiga syarikat menerusi pinjaman daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bernilai RM1.8 bilion.

“Malangnya, YB (Abdul Khalid) tidak lagi menyandang jawatan MB (Menteri Besar Selangor), namun saya lagi hairan kenapa MB sekarang (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) takut ikut langkah Bandar Tun Razak (Abdul Khalid) untuk nyatakan sebut harga.

“Kita hanya sebagai pemudah cara, justeru kerajaan negeri yang memerlukan duit perlu nyatakan berapa pinjaman atau jumlah sewajarnya untuk mengambilalih Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

“Sebut saja harga, esok kita boleh duduk dan muktamadkan perjanjian penstrukturan semula bekalan air (Selangor),” katanya.

Dalam nada sindiran, Maximus menyifatkan, tindakan Mohamed Azmin berdolak-dalik dalam merungkai krisis air di Selangor seolah-olah Menteri Besar itu takut dengan bayang Abdul Khalid sebagai penyandangnya.

“Contoh dia mudah, macam YB (Yang Berhormat) Kinabatangan (Datuk Seri Bung Moktar nak pinang anak Kota Belud (Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan), tetapi minta saya tentukan berapa banyak hantaran untuk diberikan?

“Bagus saya kahwin sendiri daripada nak tentukan orang punya hantaran, itu gila punya otak. Ini (Mohamed Azmin) tiada tulang belakang untuk tentukan sebut harga,” katanya mengundang tawa dalam kalangan ahli dewan.

Menjawab soalan tambahan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) mengenai kesan penangguhan penstrukturan air Selangor, Maximus berkata, PAAB menanggung bebanan kewangan, dengan kadar faedah RM60 juta setahun selepas memberikan pinjaman RM1.68 bilion untuk mengambilalih tiga syarikat.

Katanya, keadaan itu turut menyebabkan SPLASH dibebani hutang RM4.42 bilion oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) susulan ketidaksempurnaan usaha penstrukturan bekalan air Selangor – berita harian