IPOH: Kerajaan negeri sedang melakukan pemantauan dan ujian konklusif bagi mencari punca sebenar pencemaran di Sungai Bernam, Muallim.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, pihaknya ketika ini telah pun mengenal pasti beberapa ladang sekitar yang mungkin menjadi punca kepada pencemaran itu namun masih menunggu bukti kukuh.

Menurut beliau, sampel air di sungai itu juga telah diambil oleh Jabatan Perikanan dan mendapati memang tahap ammonia yang di sungai itu agak tinggi.

“Ammonia itu didapati berpunca daripada satu ladang ayam sekitar kawasan itu namun ianya masih belum disahkan kerana ammonia itu juga turut boleh disumbangkan oleh ladang-ladang lain yang beroperasi,” katanya dalam satu sidang media sempena Sidang DUN Perak pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berhubung dakwaan pendapatan kira-kira 200 nelayan darat di daerah itu terjejas berikutan pencemaran di Sungai Bernam.

“Selain agensi dan jabatan-jabatan negeri ini, Lembaga Urus Air Selangr (LUAS) turut menjalankan pemantauan terhadap sungai ini memandangkan ianya terletak di sempadan antara Perak serta Selangor.

“Sebenarnya kita juga telah mengadakan beberapa mesyuarat di antara nelayan, pengusaha ladang, jabatan-jabatan berkaitan serta LUAS. Kita telah terangkan kepada mereka tindakan-tindakan yang sedang kita ambil untuk selesaikan masalah ini,” tambah beliau.

Selain itu, beliau memberitahu, sebagai langkah meringankan beban nelayan darat yang terkesan, kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan sedang merancang untuk melepaskan benih anak-anak ikan di lombong dan tasik sekitar kawasan itu.

“Ianya untuk memberi mereka pilihan, selain di sungai itu nanti mereka juga boleh mencari ikan di tempat-tempat kita lepaskan benih ikan ini,” jelas beliau.