IPOH: Kerajaan negeri melalui penyelarasan dan integrasi pemajuan perumahan sedang mengumpul data bilangan, jenis dan permintaan rumah di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, ia bertujuan mengetahui kekurangan dan kelopongan pembangunan perumahan, khususnya rumah kos rendah di negeri ini supaya ianya dapat diperbaiki sekaligus memenuhi permintaan rakyat.

Menurut beliau, penyelarasan dibawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) itu dibuat dengan semua jabatan dan agensi seperti Jabatan Perumahan Negara, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Majlis Agama Islam, PR1MA, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

“Melalui usaha ini pemajuan perumahan akan dapat dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar populasi dan geoekonomi rakyat negeri Perak,” katanya ketika menjawab soalan lisan dari Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (Changkat Jong – BN) di Sidang DUN pada Jumaat.

Tambah Rusnah, pemantauan oleh LPHP itu turut akan dilaksanakan melalui semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

“Ini merupakan usaha kerajaan negeri dalam mentranformasi industri perumahan di Perak supaya kesemua golongan serta lapisan rakyat berpeluang memiliki rumah yang dibangunkan oleh LPHP.

“Selain kita memberi fokus kepada golongan berpendapatan rendah, kerajaan negeri juga mengambil kira nasib-nasib golongan ibu tunggal, orang kelainan upaya dan golongan belia,” ujar beliau.