IPOH: Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting dalam sesebuah masyarakat khususnya membabitkan aspek pendidikan, penjagaan kesihatan, kebajikan, perlindungan wanita dan kanak-kanak pencegahan jenayah serta pemuliharaan alam sekitar.
Golongan ini sering digelar sebagai suara ketiga dalam sesebuah negara dan berperanan menjadi pengantara kerajaan dan rakyat bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dinikmati segenap lapisan masyarakat.
Menerusi barisan Exco yang mewakili kerajaan baharu di Perak, peralihan kuasa ini disifatkan sebagai titik permulaan untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa sebarang agenda peribadi mahupun parti.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO, dan Pembangunan Koperasi, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, berkata gabungan dan penglibatan NGO mampu memastikan hasrat dan pembaharuan direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Saya dalam kerangka untuk bertemu dengan NGO, apa kerjasama yang boleh kita wujudkan, saya ingin tegaskan bahawa hari pertama masuk sebagai Exco kerajaan negeri, perkhidmatan saya ialah untuk rakyat.
“Kami tidak ada agenda peribadi, parti atau pemerintah, agenda kami adalah untuk kepentingan rakyat dan oleh itu diharapkan masyarakat dapat beri pandangan serta nasihat, jika ada kekurangan boleh diperbaiki
“Saya perlukan penglibatan ramai pihak dan tumpuan lebih kepada anak muda untuk realisasikan pembangunan dalam lima tahun mendatang,”kata Hasnul ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu wakil NGO Ipoh City Watch, Camees Foong Yeng Yee ketika ditemui turut mengutarakan harapan dan cadangan untuk dilaksanakan dalam pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.
“Kami harap barisan Exco boleh ambil masa dalam tiga atau enam bulan sekali turun padang bersama dengan NGO untuk rasai serta mendengar apa yang diperlukan, apa masalah yang ditanggung rakyat.
“Saya juga mahu berbincang dengan Exco supaya kumpulkan semua NGO ini kerana ramai di antara mereka yang berkecimpung dalam perniagaan, dari itu dapat jadikan produk yang ada untuk digunakan dalam bidang pelancongan.
“Usaha kami ialah untuk menyampaikan pendidikan dan mentaliti tentang alam sekitar dan kesihatan kepada masyarakat, diharapkan ia dapat diperbaiki dengan kerjasama erat dari kerajaan negeri,” katanya.
Sesebuah pertubuhan adalah didefinasikan sebagai mana-mana kelab, perkongsian atau persatuan yang mengandungi tujuh orang atau lebih, tidak kira apa jenis atau tujuannya.
Sama ada sementara atau kekal, sesebuah NGO tidak termasuk badan-badan yang perlu didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis seperti syarikat, koperasi, kesatuan sekerja, persatuan ibu bapa dan guru, badan-badan sukan dan lain-lain.