KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak membatalkan perintah harga siling terhadap petrol dan diesel, kata  Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alaxender Nanta Linggi.

Beliau yang enggan mengulas lanjut isu itu sebaliknya menegaskan, kementeriannya akan mengeluarkan kenyataan lebih terperinci berkaitan perkara tersebut esok.

“Tidak, tidak, tidak. Jangan salah faham. Kita tidak batalkan harga siling,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan mesra salon rambut di pusat membeli belah di MyTown hari ini.

Alaxender berkata, beliau enggan mengeluarkan kenyataan yang boleh dimanipulasi. 

“Kita mahu ini dijelaskan. Biarlah ada kenyataan terperinci (esok) jika ada kenyataan sekerat-kerat ia boleh dimanipulasikan,” tambahnya.

Terdahulu Alaxender diminta mengulas mengenai Warta Kerajaan itu bertarikh 3 Jun lalu berkenaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) (No 8) (Pembatalan) 2020, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dibuat Pengawal Harga, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad pada 10 April lalu dengan kelulusan Alexander.

Dilaporkan warta tersebut membatalkan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) (No 8) 2020 [PU (A) 64/2020].

Bagaimanapun, tiada maklumat lain mengenai pembatalan itu dalam Warta Kerajaan yang turut dibuat dalam bahasa Inggeris.

Perintah itu membatalkan perintah yang dibuat pada Februari lalu yang menetapkan harga siling RON95 pada RM2.08 seliter berbanding RM2.20 seliter sebelum ini dan diesel pada harga RM2.18 seliter