IPOH, 23 Nov: Agensi dan jabatan yang berkaitan perlu memberi perhatian khusus kepada aspek pendalaman dan pelebaran sungai di negeri ini bagi memastikan masalah banjir dapat diselesaikan dalam kadar segera.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam (INTAP) negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata pihaknya juga akan berbincang dengan pihak pengurusan pasir negeri perak, MB Inc bagi kerja-kerja mendalamkan sungai.

Ujarnya lagi, usaha itu juga diharapkan dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) yang berdepan dengan banjir setiap kali musim tengkujuh.

Antara empat sungai yang sering melimpah ketika hujan lebat berterusan di daerah itu ialah Sungai Ijok, Sungai Teras, Sungai Jernih dan Sungai Ara.

“Saya akan berbincang secara terus dalam masa terdekat ini dengan pihak MB Inc, ia merupakan anak syarikat kerajaan negeri yang menguruskan sungai dan pasir yang ada di negeri Perak.

“Begitu juga dengan Jabatan Parit dan Saliran Negeri Perak dan kita akan mempertingkatkan berusaha untuk mendapatkan peruntukan yang lebih besar untuk selesaikan isu banjir di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Katanya lagi, projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Larut Fasa 1 dengan kos kira-kira RM 4 juta yang bermula Januari tahun ini dan dijangka siap pada Julai 2021 juga dilihat mampu mengurangkan masalah banjir di daerah tersebut.

Tambahnya lagi, pemantauan berkala untuk membersihkan sampah sarap atau objek yang menghalang aliran air di sungai juga perlu diambil kira oleh jabatan yang berkenaan.

“Langkah ini penting supaya dapat mengenal pasti sungai,anak sungai dan sebagainya yang boleh menyebabkan banjir kilat dan banjir besar.

“Kita dapat ambil tindakan lebih awal lagi supaya mengelakkan atau mengurangkan banjir berlaku ketika musim tengkujuh, khususnya di penghujung tahun,” ujarnya.