IPOH: Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan merancang untuk menyemak semula peruntukan pembiayaan  pinjaman pengajian pendidikan tinggi dalam belanjawan negeri yang akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi dan Penerangan, Dr Abdul Aziz Bari berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk menambah jumlah peruntukan yang sedia ada dalam sekitar RM6 juta, kepada satu jumlah yang lebih tinggi namun belum diputuskan.

Tanpa menyatakan jumlah dana yang dirancang untuk tujuan tersebut, beliau berkata penambahan peruntukan  pinjaman pengajian pendidikan tinggi itu juga akan merujuk kepada kedudukan semasa kewangan negeri.

“Kita harapkan dengan usaha mengurangkan pembaziran dan ketirisan yang sedang kita laksanakan, kita boleh teruskan perkara ini.

“Jika tidak semua, separuh daripada jumlah pembaziran yang dapat dihentikan itu, dapatlah disalurkan kepada tabung pendidikan negeri,” katanya.

Yayasan Perak dan juga agensi-agensi kerajaan negeri lain yang ada menyedikan inisiatif sedemikian juga akan mengikut jejak langkah kerajaan negeri bagi dalam memberi ruang yang lebih luas kepada anak-anak Perak untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT), tambah beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Sesi 2018/2019 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.

Pada majlis berkenaan, seramai 500 orang pelajar IPT kelahiran negeri Perak menerima dana pinjaman pendidikan masing-masing yang keseluruhannya berjumlah RM3.56 juta.

Daripada jumlah tersebut, 86 penerima merupakan pelajar di peringkat diploma, 352 penerima ijazah sarjana muda, 45 daripada peringkat sarjana dan 17 penerima merupakan penuntut ijazah falsafah (PhD).

Pada majlis sama, 32 orang penerima berjaya menerima anugerah pencapaian akademik cemerlang dan juga berjaya menukarkan status pembiayaan pendidikan mereka daripada pinjaman kepada biasiswa.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal ketika berucap pada majlis berkenaan berkata sehingga Disemmber 2017, seramai 3,283 peminjam masih lagi belum melangsaikan pinjaman pembiayaan masing-masing yang keseluruhnya berjumlah RM12.83 juta.