TELUK INTAN: Prihatin dengan nasib yang menimpa 12 keluarga mangsa banjir kilat di dua kawasan di sini, kerajaan negeri Perak tampil menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka.

Sumbangan berupa toto, selimut, keperluan kebersihan diri, kain pelikat, beras dan makanan ringan di samping duit raya.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin yang melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan MPTI Langkap dekat sini, petang tadi.

Beliau turut mengharungi banjir untuk melihat keadaan beberapa buah rumah mangsa.

Hadir sama Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan
Bencana Daerah Hilir Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik.

Dua kawasan terlibat ialah Kampung Matang Jambu dan Kampung Sungai Rambai yang dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.