Oleh: Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Kerajaan negeri menafikan sekerasnya sebarang kebenaran melaksanakan projek Lebuhraya Jelapang-Selama- Batu Kawan ( JELAS) seperti yang didakwa oleh Beta Mutiara Corporation ( BMT) baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry ketika diajukan soalan berkenaan berkata kerajaan negeri langsung tidak tahu mengenai pelan perancangan lebuhraya tersebut yang didakwa telah dimasukkan dalam pelan tempatan Majlis Daerah Selama.

Malah, Dr Zambry berkata tindakan BMT yang tidak mendapatkan kebenaran baik daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia ( LLM) dan kerajaan negeri adalah seperti sesuatu yang amat terancang.

“Saya telah menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rahman Dahlan semalam ( Rabu) untuk mengesahkan perkara berkenaan kerana mereka cuba untuk mendapatkan beliau kononnya bagi merasmikan Lebuhraya JELAS itu tetapi beliau sendiri pun tidak tahu, dan menggesa jangan gunakan nama dia.

“Saya ingin tegaskan, bahawa kerajaan negeri tidak bertanggungjawab dan tidak pernah memberi kononnya sebarang perakuan kepada BMT, tidak ada sama sekali,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ceramah Datuk Ustaz Kazim Elias di SMK Hutan Melintang sempena Permukiman Daerah Bagan Datuk pada Khamis.

Ulasnya, sebarang perancangan atau perbincangan untuk pembinaan lebuhraya akan dimaklumkan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri seperti yang dilakukan dalam proses perancangan Lebuhraya Pantai Barat sebelum ini.

“Saya pernah mendapat banyak maklumat berkenaan kegiatan ini lantaran itu bila ada desas-desus perasmian projek oleh menteri saya terus memeriksa samada projek ini diluluskan oleh EPU, tidak sama sekali.

“Saya tidak ingin membuat tuduhan awal sekiranya terdapat penyelewangan tetapi kalau dilihat dari segi modus operandi mereka, dia seolah-olah satu gerakan yang begitu terancang,”katanya.

Ditanya mengenai tindakan Speaker Kerajaan Negeri merasmikan projek itu, Dr Zambry berkata beliau tidak menyalahkan S Thangeswary kerana mengganggap kesilapan itu adalah disebabkan faktor jawatan sebagai Speaker yang masih baru.

“Mungkin mereka datang dan bercerita tentang latar belakang dan atas niat baik beliau mengganggap bahawa ianya satu projek dalam negeri Perak maka beliau bertindak merasmikan.

“Walaubagaimanapun, kita menegur dan akan maklumkan kepada beliau untuk mendapatkan pengesahan kepada kita dan mendapatkan maklum balas daripada kerajaan negeri jika terdapat lagi projek sebegini,”katanya.

Dr Zambry berkata sebelum ini pihak BMT pernah cuba untuk mengemukakan cadangan untuk membuat lebuhraya sekitar lima tahun lepas namun diingatkan untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada kerajaan persekutuan.

” Kita akan berbincang dengan LLM dan kerajaan persekutuan untuk tindakan seterusnya kerana tindakan mereka amat serius.

“Malah,mereka turut menggunakan logo-logo LLM di bunting-bunting,”ujarnya lagi.

Difahamkan, pihak Jabatan Kerja Raya telah menafikan sebarang kebenaran daripada pihak mereka manakala pihak LLM telah membuat laporan polis berkenaan projek JELAS oleh BMT dan kenyataan penafian turut dikeluarkan pada Khamis.