MALIM NAWAR: Kerajaan Negeri sentiasa memastikan harga perumahan di negeri ini terkawal dan mampu dimiliki semua penduduk mengikut kemampuan masing-masing, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata kemunculan segelintir pihak terutama pada musim Pilihanraya Umum (PRU) dan membuat dakwaan kerajaan langsung tidak mempedulikan nasib rakyat terutama berkaitan pemilikan rumah adalah tidak adil.

“Apa projek perumahan kita tidak buat untuk rakyat negeri Perak malah untuk rumah kos rendah kita antara negeri yang tawar harga bersesuaian dan kawal harga rumah supaya rakyat dapat beli rumah.

“Beribu-beribu hektar kita keluarkan bagi selesaikan masalah rakyat dan memastikan rakyat dapat tinggal dalam keadaan baik.

“Bagi mereka yang ada duit, orang yang tak ada duit kita tetap tolong,” katanya mengulas dakwaan video seorang lelaki mendakwa kerajaan Negeri tidak menyediakan perumahan mampu milik buat rakyat negeri yang tular di media sosial.

Katanya, perkara itu dimainkan oleh pihak pembangkang terutama pada musim PRU bagi mengkritik kerajaan dan dirinya sendiri.

“Viral pada masa ini biasalah dekat PRU hentam sajalah, hentam semua tidak betul, namun kita terus berusaha saya bukan datang sini nak balun orang lain.

“Bukan cara begitu, saya tak suka maki orang, menfitnah kerana jika mulut kita, kepala kita sudah jadi kotor sekaligus hati jadi kotor dan semua dilihat jadi kotor,” katanya.

Kerajaan Negeri turut menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) yang berperanan menjual rumah pada harga bersesuaian untuk rakyat, tambah beliau.

“Kita nak bina rumah projek perumahan Rakyat (PPR) pada harga RM170 ribu satu tapi kerajaan subsidikan rakyat hanya dijual dalam harga RM35,000.

“Begitu juga Skim Rumah Insan Aman Jaya (SRIA) pula dijual pada harga RM70,000 dan boleh sampai RM120,000 jika mahu lebih cantik kerana kita berfikir masalah untuk membantu rakyat mendapat rumah.

“Bagi yang mampu boleh beli rumah harga tinggi, yang tak berada, boleh beli yang sederhana manakala yang tiada rumah miskin tegar semua kita tolong mengikut kaum,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis bersama Menteri Besar Perak Daerah Kampar/Kinta di Dataran Arena Rakyat Tualang Sekah di sini hari ini.

Terdahulu Dr Zambry turut merasmikan Majlis Pecah Tanah Desa Perwira Negara Malim Nawar, Majlis Pelancaran Perumahan Belia Amanjaya dan Pemberian Notis 5A dan Surat Tawaran untuk Peserta Rancangan Perumahan Berkelompok (RPB) dan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Daerah Kampar dan Kinta.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi merangkap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Tualang Sekah berkata sebanyak 640 surat tawaran dan notis 5A diserahkan kepada penerima Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB).

“Kita akan melancarkan perumahan Belia Amanjaya dikhususkan untuk golongan belia memiliki rumah ini sebanyak 290 unit berharga RM170,000 hingga RM200,000 menunjukkan perkembangan rumah di sini akan berkembang dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Manakala bagi Rumah Desa Perwira 443 unit rumah bakal didirikan di Malim Nawar dibawah kelolaan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan dijangka siap dalam masa tiga tahun.

Menariknya Rumah Desa Perwira ini dibuka kepada anggota polis dan tentera yang masih berkhidmat dan telah bersara.

Rumah berkeluasan 20 kaki x 70 kaki itu dibina dengan keluasan kasar 1,000 kaki persegi dilengkapi tiga buah bilik dan dua bilik air.

Dalam pada itu, penerima Notis 5A dan Surat Tawaran Untuk Peserta Rancangan Pertanian Berkelompok Rozita Meor Ali mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Perak dan Menteri Besar di atas pemberian tanah ganti dan pertanian ganti kepada rancangan tanah berkelompok di Bio Valley Fasa 1 dan 2 di Malim Nawar.

“Proses untuk mendapatkan tanah ini tidak lama, tidak sampai dua tahun, namun penantian itu berbaloi dan saya rasa seronok sangat,” ujar beliau.

Penerima Surat Tawaran Rancangan Perkampungan Tersusun Batu Putih Tambahan, Kampar, Jagatheesan Manoharan berkata beliau akhirnya lega apabila tanah milik 68 orang penduduk penempatan itu dengan keluasan 27 ekar telah dimiliki.

“Permohonan untuk RPT Batu Putih Tambahan ini asalnya dimohon pada tahun 2008.

“Kami berjumpa terus dengan Menteri Besar, jadi RPT ini diwujudkan secara in-situ kerana ia telah diduduki selama 135 tahun.

“Saya mewakili penduduk RPT Batu Putih Tmabahan berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri dan Barisan Nasional Negeri Perak,” ujar beliau.