IPOH – Kerajaan negeri mengalu-alukan Al-ikhsan Sport Sdn Bhd untuk melakukan pelaburan di Perak pada masa hadapan khususnya dalam sektor ekonomi sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How, berkata, antara pelaburan yang akan dibincangkan bersama syarikat tempatan itu adalah pelaburan di bawah projek Bandar Sukan Bersepadu Perak di kawasan Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Kerjasama yang terjalin dengan Al-Ikhsan Sport ini semakin berjaya dan kerajaan negeri nak tingkatkan ia ke tahap yang lebih tinggi terutama apabila persekitaran Kompleks Sukan MBI tidak lama lagi nak ditukar sebagai Bandar Sukan Bersepadu Perak.

“Di situ akan terdapat banyak peluang serta ruang kepada semua pihak khususnya pembuat dan pengedar barangan sukan untuk kembangkan agenda mereka yang selari dengan hasrat kerajaan negeri. dalam pembangunan dan ekonomi sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan Al-Ikhsan Sport di Stadium Perak, di sini, hari ini.

Katanya lagi, kerajaan negeri turut mengalu-alukan Al-Ikhsan untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui pembukaan lebih banyak francaisnya di sekitar Perak demi manfaat ekonomi rakyat setempat.

“Kita di sini menjemput Al-Ikhsan untuk melabur membawa gedung-gedung mereka ke Ipoh atau Perak secara amnya pada masa hadapan.

“MOU ini dibuat untuk merakamkan dan mencatit kerjasama yang selama ini telah terbina di antara Al-Ikhsan dan kerajaan negeri Perak, ini merupakan satu lagi titik permulaan untuk sesuatu yang lebih besar,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sport, Vach Pillutla menzahirkan penghargaan selepas syarikatnya dipilih menjadi antara penaja Platinum Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak dan diberi peluang oleh keraajaan negeri untuk melabur di negeri ini.

“Saya amat gembira kerana Al-Ikhsan telah terpilih sebagai salah satu penaja platinum untuk Sukma ke-19, kita telah pun mempunyai hubungan baik jangka panjang bersama Pera sejak lima tahun lalu.

“Saya harap kerjasama ini dapat diteruskan, sebagai syarikat berasaskan sukan kita terbuka dengan sebarang perbincangan untuk mengembangkan lagi industri sukan Perak,” ujarnya.