LUMUT: Kerajaan negeri Perak yang baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) akan membantu merealisasikan pembinaan Muzium Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) yang telah lama dirancang.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau telah berbincang dengan Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip untuk menghidupkan semula cadangan itu.

Menurut beliau, mereka telah sepakat untuk memulakan semula rundingan di samping telah mengenalpasti tapak lokasi yang sesuai.

“Saya cuma meminta pihak TLDM dan juga Kementerian Pertahanan, jika mereka telah bersedia dengan peruntukan untuk membina muzium tersebut, bagi pihak kerajaan negeri, kita akan mempercepatkan semua proses agar ianya dapat dibangunkan segera.

“Saya amat yakin, jika Muzium TLDM ini dapat kita bangunkan, ianya akan menarik minat bukan sahaja pelancong, tetapi juga penduduk setempat dan orang ramai untuk mengunjunginya, bukan sekadar untuk mengenal lebih rapat tentang TLDM telah buat selama ini tetapi juga untuk kita memasyarakatkan TLDM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Rumah Terbuka Aidilfitri Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di sini, hari ini.

Hadir sama Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Mohamad Adib Abdul Samad yang baru memulakan tugas beliau pada 10 Julai lalu.

YAB Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan memastikan rundingan itu dapat dijalankan dengan segera kerana ia telah lama tertangguh.

Sebelum ini, kerajaan terdahulu telah mengumumkan cadangan pembangunan Muzium TLDM pada 2016 yang dijangka siap tahun ini.