IPOH – Pembinaan rumah berkonsepkan rumah mesra milik membuktikan bahawa kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Harapan komited untuk menyediakan kemudahan yang benar-benar mampu dimiliki oleh rakyat.

Dengan termeterainya perjanjian persefahaman (MoU) di antara Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Syarikat ECK Sdn Bhd untuk pembinaan 321 unit rumah mesra rakyat di Tronoh, Seri Iskandar, agenda yang dihasratkan oleh Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu yang mahu melihat rumah yang ditawarkan lebih besar dan selesa berbanding dengan rumah-rumah mampu milik yang terdapat dalam pasaran dapat direalisasikan.

Kawasan perumahan teres setingkat dibina di atas sebidang tanah seluas 25 ekar ini mempunyai keluasan 1,200 kaki persegi termasuk anjung pada setiap rumah ditawarkan pada harga RM90,000 seunit jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

Ahmad Faizal berkata, kolaborasi ini adalah perintis kepada hasrat kerajaan negeri untuk memenuhi permintaan rumah mesra milik di negeri ini, di samping menawarkan rumah berkualiti tinggi dan direka mengikut citarasa semasa.

“Apa yang menarik tentang projek perumahan ini ialah ianya merupakan perumahan mesra milik di mana pembinaan keluasan rumah seluas 1,200 kaki persegi termasuk anjung akan dijual dengan harga RM90,000 sahaja dan saya percaya ini adalah satu perkara yang dinanti-nantikan oleh semua rakyat.

“Walaupun kita mulakan dengan sebuah projek yang kecil dengan jumlah unit rumah hanya sebanyak 321 buah, namun saya ingin melihat keupayaan pihak pemaju untuk melaksanakannya terlebih dahulu dan jika ianya dapat dibuat dengan segera, pantas dan menyerahkan kunci kepada penghuni dalam masa yang kita sendiri tetapkan, tentulah kita akan bekerjasama dengan lebih rapat lagi dan membuka lebih banyak lagi kawasan-kawasan di seluruh negeri Perak,” katanya.

Beliau bercakap dalam satu sidang selepas menyaksikan majlis perjanjian persefahaman di antara MB Inc diwakili oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Anuar Zainal Abidin manakala pemaju projek Syarikat ECK diwakili oleh Pengarah Urusan Tan Sri Dr Khor Eng Chuen di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Negeri, YB Tan Kar Hing, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Gazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam Dan Kampung Baru, YB Paul Yong Dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Dan Sukan YB Howard Lee.

Ahmad Faizal berkata, rumah mesra milik ini juga dibina dengan menitikberatkan aktiviti riadah bagi penghuni di mana kawasan lapang disediakan untuk trek berjoging dan akan ditanam dengan lanskap menarik yang akan diselenggarakan oleh pihak pemaju sebelum diserahkan kepada para penghuni.

Buat masa ini, kerajaan negeri menetapkan pembeli sasaran terdiri daripada senarai Lembaga Perumahan Dan Hartanah Perak yang mengutamakan penduduk tempatan di Tronoh, sebelum membuka peluang kepada orang luar.