IPOH: Kerajaan negeri Perak meraikan 184 sukarelawan yang menjalankan kerja-kerja menjahit hampir 10,000 Personal Protective Equipment (PPE) bagi kegunaan para petugas barisan hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, sumbangan mereka banyak membantu meringankan tugasan barisan hadapan.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat, beliau yakin mereka juga bersedia untuk melakukannya lagi sekiranya diperlukan.

“Isu PPE ini tidak timbul lagi kerana usaha sebegini membolehkan kakitangan Kementeria Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai PPE yang mencukupi dan tidak perlu dikongsi di antara mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis meraikan sukarelawan itu di Hotel Kinta Riverfront di sini, hari ini.

Saarani berkata, seramai 130 kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dibantu 54 sukarelawan menggunakan 14 bengkel jahitan di seluruh negeri untuk menjahit PPE.

“Keperluan untuk PPE tinggi, Kemas ada kelas jahitan, mesin, peralatan dan kepakaran. KKM hanya menyediakan bahan yang diperlukan dan Kemas menjahit pakaian khas itu,” ujarnya.

Beberapa sukarelawan yang ditemui melahirkan rasa syukurkerana usaha mereka sedikit sebanyak dapat membantu petugas barisan hadapan.

Hamimi Maria Hamdee, 41 dari Bengkel Jahitan Kampung Seri Kinta, Ipoh berkata, dia dan kira-kira 30 rakan yang lain menjahit kira-kira 200 PPE sehari.

“Inilah yang kami mampu bantu, rasa puas kerana sebelum ini, hati rasa memberontak untuk membantu petugas barisan hadapan, khususnya jururawat dan doktor yang bertungkus lumus setiap hari,” katanya ketika ditemui.

Bagi penuntut Kampus Satelit Siast Adteck Taiping, Nur Zafirah Ghazali, 23, dia menggunakan masa lapang untuk membantu menjahit 1,800 PPE bersama-sama kira-kira 10 sukarelawan di Bengkel Jahitan Bagan Tiang, Bagan Serai.

“Sambil mengisi masa lapang sebab tidak ada kelas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya juga dapat membantu petugas barisan hadapan,” ujarnya yang belajar dalam jurusan jahitan.

Mazura Abu Hassan, 52, dari Tanjung Tualang pula berkata, ketika PKP sebelum bulan puasa lalu, dia membantu menjahit PPE di Pusat Jahitan Batu 10 Tanjung Tualang, jika tiada tempahan membuat pakaian.

“Ia langsung tidak membebankan dan insya Allah saya bersedia untuk membantu lagi sekiranya diperlukan,” katanya.

Tukang jahit itu berkata, dia menjahit kira-kira 150 PPE dan berbangga kerana dapat turut sama memberi sumbangan kepada negara.