IPOH – Kerajaan negeri telah menyalurkan sumbangan kilat berjumlah RM150,000 kepada Pusat Pendidikan Al Barakah, di Manjoi, bagi membantu pengurusan pusat pendidikan berkenaan, baru-baru ini.

Pengasas dan pengetua pusat berkenaan, Datuk Mohd Kazim Elias mendedahkan sumbangan tersebut diterima daripada Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu yang prihatin dengan masalah yang menimpa pusat tersebut.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar (Ahmad Faizal Azumu) yang prihatin dengan kekangan kewangan pusat pendidikan ini dan saya sedang menunggu tarikh dan masa yang sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan beliau,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pernikahan pasangan warga emas yang belajar di pusat pendidikan itu di sini hari ini.

Sebelum ini, YAB Ahmad Faizal berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Mohd Kazim untuk mengenal pasti kaedah yang sesuai bagi membolehkan pusat pendidikan itu terus beroperasi seperti biasa berikutan isu kewangan yang dihadapinya.

Mengulas mengenai sama ada operasi Unit Tahfiz Al-Quran Al Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah akan diteruskan atau sebaliknya, Mohd Kazim berkata ia bakal ditentukan pada 5 ogos ini selepas pihak pengurusan selesai berbincang dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.

Menurut Mohd Kazim, beliau telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak pusat tahfiz yang berminat untuk mengambil alih pengurusan yang melibatkan kakitangan dan pelajar pusat pendidikan, di mana pihaknya tidak akan mengeluarkan perbelanjaan untuk menampung kos pengurusan unit tahfiz tersebut.

Sekiranya perbincangan tersebut tidak mencapai kata sepakat dan tidak menjadi kenyataan, pihaknya akan cuba mengurangkan skop dari segi tenaga pengajar dan sistem pembelajaran iaitu hanya memberi fokus kepada pengajian tahfiz semata-mata, tambah Mohd Kazim.

“Sekiranya perkara itu tidak menjadi kenyataan, kita akan cuba mengurangkan skop dari segi tenaga pengajar dan sistem pembelajaran iaitu hanya memberi fokus kepada pengajian tahfiz semata-mata, tidak ada lagi bidang akademik seperti SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), Bahasa Mandarin, Tamil atau Cina yang akan diajar di pusat pendidikan ini.

“Tetapi saya rasa berat (buat keputusan mengurangkan skop tenaga pengajar dan pembelajaran) sebab saya mahu pelajar tahfiz ini menjadi seorang yang professional, katanya yang turut gusar dengan tindakan pengurangan tersebut yang dilihat akan memberi kesan kepada kualiti pendidikan yang diterima oleh para pelajar di situ.

Mohd Kazim berkata pihak pengurusan juga telah bertemu dengan tiga buah syarikat yang berminat untuk membeli bangunan Unit Tahfiz tersebut, namun memaklumkan ia masih di peringkat perbincangan, dan bakal membuat keputusan pada 5 Ogos ini.

Pusat Pendidikan Al-Barakah yang beroperasi pada 2006 mempunyai tiga unit iaitu Tahfiz Al-Quran, Pondok Pengajian Dewasa dan Tadika Nurul Barakah.