IPOH: Kerajaan negeri menyambut baik titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menambah baik sistem Mahkamah Syariah dengan mewujudkan satu lagi lapisan dalam Mahkamah Rayuan.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, proses itu membolehkan pihak yang terbabit mendapat keadilan yang sewajarnya menerusi Mahkamah Rayuan.

“Ini membolehkan pihak yang tidak berpuas hati dari segi keputusan Mahkamah Tinggi boleh membuat proses rayuan ke Mahkamah Rayuan.

“Sebelum ini ia terhenti setakat itu sahaja (Mahkamah Tinggi), kalau keputusannya itu, itulah… tidak boleh buat rayuan, sekarang ini ada lagi satu lapisan (Mahkamah Rayuan) bagi membolehkan siapa yang tidak berpuas hati untuk buat rayuan sekali lagi,” katanya.

YAB Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita dalam sidang sidang media Pulara 9 dan Hadiah Sastera Darul Ridzuan 6 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas titah Sultan Nazrin pada istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke- 14.

Terdahulu, baginda menitahkan agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan di dalam sistem Mahkamah Syariah demi menjamin proses keadilan dilaksanakan secara saksama di negeri ini.

Titah baginda, satu enakmen Mahkamah Syariah Negeri Perak hendaklah digubal, dibentangi untuk diluluskan di dalam Dewan Negeri Perak ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama, Dewan Negeri Perak ke-14.