IPOH– Kerajaan negeri sedia membantu keluarga kesemua mangsa yang terlibat dalam kebakaran di sebuah rumah kedai dua tingkat di kawasan perindustrian Puncak Jelapang Maju, Meru, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Dr. Abdul Aziz Bari berkata antara bantuan yang akan diberikan termasuklah menanggung kesemua kos pengurusan jenazah.

“Saya dimaklumkan oleh keluarga bahawa proses pengebumian telah dimulakan,jadi pihak kerajaan negeri akan menanggung segala kos pengebumian.

“Kebetulan lima remaja ini dari Dewan Undangan Negeri (DUN) (Tebing Tinggi), jadi buat masa ini kita akan uruskan kos dan bantuan lain, kita akan bincang dengan keluarga kemudian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Rabu.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Yahaya Abd Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 1.54 petang itu, semua mangsa ditemui dalam keadaan rentung sehingga menyukarkan pengesanan identiti mereka.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.