LUMUT: Kerajaan negeri Perak bersedia untuk mengembalikan semula penganjuran Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) di Pulau Pangkor, tahun depan selepas tidak dianjurkan selama dua tahun sejak 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata festival yang mula dianjurkan pada 2010 itu tidak diadakan pada tahun lepas dan tahun ini atas beberapa kekangan. 

“Kita tidak buat Pulara tahun ini berikutan terdapat kekangan yang tak dapat dielakkan namun kita sedang merancang dan mengkaji semula sekiranya kita hidupkan kembali Pulara ini tahun depan iaitu edisi ke-10.

“Pulara ini sangat sinonim dengan Perak khususnya di Pulau Pangkor dan daripada festival ini, kita telah lahirkan beberapa program seiring dengan Pulara termasuk penghasilan kertas kerja bertemakan pembangunan pembudayaan sebagai asas jati diri dan kepentingan bahasa Melayu,” katanya.

Beliau ditemui Bernama pada Majlis Pulara 2020 Dalam Kenangan di Pulau Pangkor di sini, malam tadi. Turut hadir bekas Menteri Besar Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Majlis yang disertai penggiat seni dan syair itu diadakan bagi mengenang kembali jasa Tokoh Sasterawan Perak, Allahyarham Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Malim Ghozali PK atau Pak Malim yang meninggal dunia selepas menjalani pembedahan membuang tumor pada 18 Jun lepas.

Nolee Ashilin berkata Pak Malim merupakan orang penting yang giat memperjuangkan kesusasteraan di Perak dengan memperkenalkan pelbagai program termasuklah Pulara dan antara penggerak Anugerah Sasterawan Perak.

Katanya, kehilangan Pak Malim amat dirasai dan satu kehilangan besar kepada dunia sastera nusantara dan tanah air terutama di Perak kerana beliau banyak menghasilkan karya melibatkan kebudayaan, sejarah dan tempat-tempat di negeri ini.

-BERNAMA