IPOH – Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan akan menyalurkan peruntukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutamanya golongan mualaf untuk menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan antara kaum di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi berkata ini kerana penganjuran program berteraskan perpaduan kaum antara masyarakat Islam dan bukan Islam perlu diperluaskan kerana ia mampu mengetengahkan budaya masing-masing untuk ditunjukkan kepada semua kaum.

“Saya bersedia meneliti untuk memberikan peruntukan kepada mana-mana NGO yang mahu mengadakan aktiviti kebudayaan seperti Pesta Tanglung kerana ia dapat membuka mata antara masyarakat bukan Islam bahawa Islam boleh bekerjasama dalam aspek-aspek penganjuran program kebudayaan.

“Oleh itu tidaklah dikatakan Islam sebagai satu agama yang jumud kerana tidak meraikan kebudayaan lain selain ia dapat mewujudkan ‘mutual respect’ antara masyarakat Islam dan bukan Islam seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang lebih bersefahaman,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Perpaduan Tanglung 2018 di Masjid Muhammadiah, Taman Tasek Jaya, di sini pada Sabtu.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin dan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Ipoh, Datuk Dr Fazli Cheah Abdullah.

Program yang diadakan buat kali keempat itu merupakan anjuran JAIPk dengan kerjasama Macma Ipoh, Persatuan Wanita Cina Perak serta masjid berkenaan.

Sementara itu, Fazli Cheah berkata penganjuran festival tanglung itu merupakan satu platform untuk mengeratkan silaturahim antara orang Islam dengan penganut agama lain.

“Kita boleh berkongsi budaya dengan penganjuran aktiviti sebegini dan kita turut menganjurkan pelbagai program kebudayaan berkaitan masyarakat Cina di masjid ini,” katanya.

Seramai 500 orang mengambil bahagian dalam pesta tanglung itu dan turut melepaskan tanglung terbang ke udara dengan menulis hajat mereka di tanglung tersebut dan berdoa agar ia dimakbulkan.

Pesta Tanglung atau dikenali sebagai Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari ke-15 pada bulan kelapan pada kalendar Cina iaitu antara akhir bulan Ogos atau akhir bulan September.