IPOH – Kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima sebarang idea baharu dalam usaha meningkatkan ekonomi rakyat di negeri ini.

Exco Kerajaan Negeri, Wong May Ing berkata, pihaknya juga mengalu-alukan penglibatan golongan wanita dalam perniagaan sebagai usahawan.

Menurutnya, melalui Jabatan Pembangunan Wanita dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), golongan wanita diberikan latihan bagi meningkatkan kemahiran mereka.

“Kita amat menggalakkan wanita menjadi usahawan supaya mereka boleh berdikari mencari pendapatan.

“Malah di Perak sendiri jumlah usahawan dalam kalangan wanita agak ramai,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran pedamall.my Koperasi Usahawan Bersatu Bumiputera Perak Berhad anjuran Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Perak, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mengenai pelancaran kedai online pedamall.my, May Ing berkata, ia merupakan satu langkah baik dalam usaha mempromosikan produk tempatan.

Katanya, perniagaan secara online sangat baik kerana ia melibatkan banyak pihak selain memudahkan usahawan menjual barangan mereka.

“Peluang ini harus diambil oleh usahawa Perak untuk menjadikan perniagaan mereka lebih terkenal dan mudah dipasarkan.

“Tahniah diucapkan kepada Perdasama Perak atas usaha ini dan saya penglibatan lebih ramai wanita dalam bidang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Perdasama Perak, Suhaida Mohd Hashim berkata, pihaknya menyasarkan sejuta pengunjung secara berperingkat ke laman membeli belah itu.

Katanya, laman web tersebut boleh diakses melalui www.pedamall.shoponline.my untuk mereka mendapatkan pelbagai barangan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

Beliau berkata, beberapa saringan dan tapisan akan dibuat sebelum ia diberikan kepada penyewa tapak untuk mempromosikan barangan mereka – sinar