IPOH: Kerajaan negeri Perak memberi jaminan bahawa kebajikan penuntut negeri itu yang masih berada di Mesir akan terus dijaga.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, pihaknya sentiasa mengemaskini maklumat terkini yang disalurkan Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak yang merupakan salah satu agensi kerajaan di bawah Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah yang menyelia hal ehwal akademik, pembangunan modal insan serta kebajikan mahasiswa Negeri Perak di Mesir, Jordan dan Maghribi.

Menurutnya, melalui Atase Pendidikan Perak, Mohammed Tasyreef Mohamd Tarmizi, dimaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah mewujudkan Jawatankuasa Task Force COVID- 19 yang dipengerusikan Duta Besar.

Katanya, pihak kedutaan sentiasa berusaha menyusun langkah yang terbaik dalam memastikan para pegawai dan seluruh mahasiswa terjamin dari sudut keselamatan, kebajikan dan pengurusan rawatan di hospital.

“Bukanlah sesuatu yang sangat teruk untuk standard rawatan di Mesir seperti mana yang ditularkan dalam pelbagai sumber.

“Jika wujud sedikit kecacatan sekalipun tidaklah sehingga memadamkan usaha keras kerajaan Mesir bagi membendung penularan wabak ini,” katanya di sini.

Jumlah mahasiswa di bawah seliaan Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak seramai 848 orang, kini seramai 466 orang yang masih berada di Mesir sehingga 30 Mei lalu.

Mohd Akmal berkata, dalam pertemuannya dengan wakil kepimpinan Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) pada 19 Mei lalu, mereka akan memastikan mahasiswa Perak menuruti prosedur operasi standard (SOP) dan mengambil kira perkembangan COVID-19 semasa di Mesir.

“Bahkan perbincangan dua hala juga diadakan antara KPIPM dan Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak pada 4 Jun lalu, sebagai langkah kerjasama untuk menjaga kebajikan mahasiswa di sana,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) juga telah menyalurkan bantuan kepada mahasiswa di Mesir dan Jordan melalui Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak bagi tujuan pengurusan wabak COVID-19.

Menurutnya, bantuan itu termasuk pengagihan bekalan makanan asas, pengurusan kesihatan pelajar dan pengagihan bantuan berbuka puasa.