IPOH – Satu bengkel bagi membincangkan hak milik tanah 999 tahun atau hak milik kekal akan dilaksanakan dalam masa terdekat demi memberi pencerahan dan penyelesaian kepada isu tersebut di Perak.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata bengkel itu akan menghimpunkan semua pihak dalam kalangan pakar perundangan, ahli politik dan bekas pegawai kerajaan untuk mengetengahkan pandangan masing-masing berhubung tanah hak milik kekal.

“Saya sudah pun mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian untuk membuat satu bengkel yang turut dihadiri oleh semua pihak, bekas-bekas pegawai kerajaan ,pakar dalam perundangan dan perlembagaan serta ahli politik.

“Hari ini saya mendapat dua pandangan yang berbeza, jadi apa yang saya mahu lakukan ialah kita bincangkan betul-betul dan bawa ke peringkat Majlis Tanah Negara (MTN) untuk diputuskan dalam masa secepat mungkin,” ujarnya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Pusat Khidmat Parlimen Tambun di Meru Raya, di sini pada Ahad.

Beliau menambah, kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak mempunyai seorang pengerusi manifesto yang bertanggungjawab untuk memantau kerajaan dalam melaksanakan manifesto PH di negeri ini.

“Kalau kita kata nak buat sesuatu itu, kita buat contohnya kalau tiada aral melintang…niat untuk melaksanakan manifesto itu ada dan untuk melaksanakan itu saya perlu melalui beberapa proses kerana ada dua pandangan yang berbeza mengenai perkara ini.

“Saya kena fikir juga, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita ada pemimpin, kita ada Majlis Presiden Pakatan Harapan, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta barisan Kabinet yang sama dengan kita.

“Kita serahkan kepada kepimpinan dengan semua pandangan yang ada, keputusannya bergantung kepada mesyuarat MTN yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.

Sebelum ini kerajaan negeri menetapkan pendirian bahawa cadangan untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baru bercanggah dengan Perlembagaan.

Namun begitu ujarnya memandangkan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat di bawah PH, perkara ini akan dipanjangkan kepada kerajaan Pusat untuk pertimbangan melalui MTN.