IPOH: Kementerian Sumber Manusia akan memastikan nasib pekerja Scomi Engineering Bhd yang didakwa gagal mendapat bayaran gaji sehingga enam bulan, terbela.

Sehubungan itu, kementerian akan mencari jalan bagi membolehkan penubuhan kesatuan sekerja supaya segala isu dan permasalahan yang berbangkit akan diuruskan oleh kesatuan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar meminta Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia atau MTUC mencari jalan dan mencadangkan kepada kerajaan supaya pekerja syarikat-syarikat besar seperti Scomi Engineering boleh menubuhkan kesatuan sekerja.

Menurut beliau, adalah tidak wajar sebuah syarikat besar seperti Scomi Engineering tidak membayar gaji sehingga enam bulan.

“Ada masalah, macam mana pun, gaji kena bayar. Saya tak fikir dia nak tunggu pengstrukturan semula, baru nak bayar gaji, ini tak adil lah kepada syarikat besar yang telah memerah keringat pekerja-pekerja yang telah bekerja yang berkhidmat begitu lama, tiba-tiba kerana alasan nak struktur semula, maka gaji tak dibayar enam bulan, ini bagi saya sangat tidak wajar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Parti Amanah Negera atau Amanah Perak di Ipoh, pada Ahad.

Sebelum ini, Astro Awani melaporkan Timbalan Menteri Sumber Manusia itu terkejut apabila dimaklumkan tentang kes membabitkan pekerja Scomi Engineering dan menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Kedua-dua pihak pekerja dan majikan perlu hadir pada 26 November di Jabatan Tenaga Kerja Rawang memandangkan kes ini sudah difailkan di Mahkamah Buruh.