IPOH: Kerajaan negeri Perak yang baharu diharap dapat meneruskan operasi Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang telah diwujudkan sejak lima tahun lalu.

Pengerusi PAWE UTC Perak, Datuk Tan Lian Hoe berkata, pusat tersebut banyak memberi manfaat kepada golongan warga emas daripada pelbagai kaum dan agama.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti dilaksanakan di pusat itu, seperti senamrobik, kraftangan, jahitan dan kelas agama, bagi mengisi masa lapang kira-kira 2,000 warga emas yang menjadi ahli pusat tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kerajaan negeri juga turut membantu PAWE bagi memastikannya mampu terus beroperasi.

“Setakat ini PAWE hanya menerima bantuan bulanan RM600 untuk penyelia dan RM300 untuk pembantu penyelia daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kita terpaksa mencari sumber lain dari luar bagi menampung tabung PAWE,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Sambutan Aidilfitri dan Hari Ibu Bapa PAWE UTC Perak di Hotel Kinta Riverfront di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, selain daripada elaun RM900 untuk penyelia dan pembantunya, JKM juga hanya menyumbang RM1.50 sahaja bagi setiap warga emas di pusat berkenaan.

“Pusat ini sangat memberi manfaat untuk mengisi masa lapang warga emas dan ketika anak cucu sibuk mencari rezeki, di sinilah tempat mereka untuk menghilangkan kesunyian masing-masing,” ujarnya.

Tan Lian Hoe memberitahu, setakat ini, Perak mempunyai dua cawangan PAWE iaitu di UTC Ipoh dan Tanjung Malim.

“Kita memang sudah ada cadangan untuk membuka cawangan PAWE di setiap kawasan parlimen di negeri ini bagi memberi kemudahan kepada warga emas di tempat-tempat lain,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya bercadang untuk menemui Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju dan masa depan PAWE.