BAGAN SERAI, 9 April – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk membangunkan semula Galeri Etnik Banjar di daerah Kerian yang tertangguh sejak 2012.

Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kertas kerja mengenai perancangan dan pengurusan galeri itu telah diserahkan kepada Majlis Daerah Kerian.

Katanya galeri itu ditubuhkan bagi mengetengahkan adat dan kebudayaan masyarakat Banjar untuk membolehkan pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke Perak.

“Kewujudan galeri ini membuktikan negeri ini mempunyai pelbagai kebudayaan masyarakat di samping mempromosikan adat Banjar bersempena Tahun Melawat Perak 2017,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni dan Budaya ‘Festival Masyarakat Banjar’ di sini malam tadi.

Beliau berkata melalui festival ini juga, ia dapat memastikan kesinambungan kebudayaan etnik Banjar yang begitu unik.

Nolee Ashilin berkata kerajaan negeri memandang serius terhadap kesinambungan warisan kebudayaan pelbagai rumpun etnik yang ada di Perak.

Selain itu, beliau berkata Kerian juga mempunyai dua produk pelancongan bertaraf antarabangsa iaitu Pusat Pemuliharaan Burung Kuala Gula dan Pulau Orang Utan Bukit Merah.

Menurutnya, kedatangan pelancong bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini mencatatkan peningkatan sehingga 20 peratus.

“Kita yakin dapat mengekalkan jumlah pelancong domestik yang berkunjung ke negeri ini pada tahun ini dengan sasaran 8.5 juta pelancong,” katanya.

— BERNAMA