KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan tidak boleh berseorangan untuk membina semula masa depan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat dan kerajaan perlu bekerjasama sebagai satu kumpulan untuk memajukan lagi negara.

“Selepas kita mengubah kerajaan, marilah kita bawa (negara) ke tahap yang lebih tinggi dan mengisi kemenangan atau peralihan ini dengan mendapat keredaan Allah.

“Umpama Real Madrid menentang Liverpool awal pagi tadi, kerajaan tidak boleh berseorangan bangunkan negara sebaliknya rakyat dan kerajaan bersama sebagai satu kumpulan untuk masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana Bersama Timbalan Perdana Menteri di perkarangan Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam di sini, hari ini.

Yang turut hadir, suaminya yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan EXCO Selangor, Ir Izhan Hashim.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, menang atau kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu menjadi adat pertandingan dan paling penting bagaimana pengisiannya untuk memakmurkan lagi rakyat.

“Jadikan Ramadan ini sebagai bulan untuk meningkatkan lagi amal ibadat sebab yang menang adalah rakyat dan kita perlu bersama demi negara.

“Yakinlah kita mempunyai kebebasan dan segala yang diusahakan adalah untuk memajukan negara,” katanya – berita harian