KUALA LUMPUR : Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) harus dibincangkan semula oleh kerajaan dalam mesyuarat Kabinet pertama, tahun depan.

Demikian saranan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berpandangan bahawa kerajaan harus mengambil kira keresahan dan kebimbangan disuarakan rakyat susulan keputusan itu.

“Saya mengikuti dan mengambil maklum keputusan kerajaan menamatkan pemberian bayaran insentif perkhidmatan kritikal kepada doktor, jururawat,

jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan.

“Saya berpendapat perkara ini perlu dibincang semula oleh kerajaan dalam sidang Kabinet pertama pada 2020.

“Kerajaan harus mengambil kira keresahan dan kebimbangan yang disuarakan rakyat. Menteri juga disyorkan menggunakan ruang Kabinet bagi menyatakan pandangan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saranan Anwar itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, menerusi media sosial pada Selasa lalu, yang mengusulkan supaya memotong elaun ahli politik dan menteri, bukan elaun kritikal doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.

JPA menerusi pekelilingnya bertarikh 20 Disember lalu mengumumkan bakal memansuhkan lapan elaun antaranya merangkumi BIPK, Bayaran Insentif Angkat Najis, Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Keraian kepada Setiausaha Sulit dan Setiausaha Sulit Kanan, mulai tahun depan.

Bagaimanapun, JPA menjelaskan pemansuhan BIPK hanya membabitkan pelantikan baharu mulai 1 Januari 2020 manakala penerima sedia ada tidak terjejas dan akan terus menikmati pembayaran elaun terbabit secara Khas Untuk Penyandang (KUP) mengikut kadar semasa seperti dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2007 sehingga menamatkan perkhidmatan.

Walaupun beberapa bayaran termasuk BIPK dimansuhkan, kajian elaun sentiasa dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa, malah JPA dan kerajaan masih mempertimbangkan pemberian elaun sekiranya mana-mana skim perkhidmatan atau disiplin tertentu memenuhi kriteria ditetapkan.

BIPK mula diperkenalkan ketika Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1992 yang secara prinsipnya tahap kritikal sesuatu perkhidmatan akan berubah mengikut keadaan dan keperluan berdasarkan kepada penawaran dan permintaan sesuatu disiplin perkhidmatan dalam pasaran semasa.

Bagaimanapun, kajian terbaru pada tahun ini mendapati semua 33 skim perkhidmatan diperuntukkan dengan BIPK terkeluar daripada kriteria pemberian asal kerana tidak lagi memenuhi ciri-ciri penawaran yang rendah dan kesukaran mengisi kekosongan jawatan.

JPA mendapati jumlah permohonan bagi jawatan yang sebelum ini disifatkan kritikal adalah melebihi keperluan perjawatan berkenaan.