KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu membentuk jawatankuasa darurat bagi penyelesaian jangka panjang dalam usaha melindungi pendapatan negara yang turut terjejas disebabkan kejatuhan mendadak harga minyak dunia.

Pada masa sama, penentuan harga apungan bulanan adalah langkah yang terpaksa diteruskan berikutan negara ini sedang menghadapi kejutan ekonomi serius.

Profesor Ulung Ekonomi, Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Prof Datuk Rajah Rasiah, berkata jawatankuasa itu perlu dianggotai pakar ekonomi berpengalaman yang bersedia membantu menggubal dan melancarkan strategi dalam usaha melindungi negara daripada kejutan luar.

“Hal ini menjadi cabaran kepada kerajaan baharu untuk memulihkan kebimbangan atau ketidakpastian demi menghentikan pengaliran keluar modal negara, dalam pada itu juga, kerajaan wajib meneruskan usaha menghapuskan rasuah.

“Memandangkan harta (rizab) negara serta nilai harta dalam pasaran saham menghadapi risiko ketidakstabilan, wajar kerajaan melaksanakan penyelarasan harga minyak secara apungan untuk menangani kejatuhan menjunam itu,” katanya kepada BH.

Dalam kenyataan MIDF Research semalam, dijangkakan harga runcit minyak terutama RON95 berpotensi turun sehingga RM1.32 seliter disebabkan kejatuhan mendadak harga minyak dunia susulan perang harga di antara pengeluar utama minyak dunia iaitu Arab Saudi dan Rusia.

Bagaimanapun, bahagian penyelidikan ekuiti itu berkata, kejatuhan harga komoditi itu akan memberi lebih banyak kesan negatif kepada Malaysia berbanding positif memandangkan kedudukannya sebagai pengeksport minyak.

Rajah berkata, bantuan subsidi sedia ada tidak perlu diteruskan kerana rakyat sudah menikmati harga minyak yang rendah.

“Ini berikutan harga setong minyak dunia jatuh di bawah USD30 (RM126.93). Memandangkan Malaysia adalah pengeksport minyak positif, kejatuhan harga minyak menggugat hasil negara sekali gus menjejaskan perbelanjaan kerajaan.

“Meskipun harga minyak jatuh, harga barangan tak semestinya menurun dalam jangka pendek disebabkan peranan harga tegar,” katanya.

Beliau berkata, harga keseluruhan hanya akan turun jika harga minyak kekal dalam jangka panjang dan selama ini ia memperlihatkan turun naik dan tidak mungkin kekal.

“Kejatuhan harga minyak dan kaitannya dengan COVID-19 hanya boleh dibuat secara tidak langsung. Kemelesetan ekonomi dunia mulai serius apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menaikkan tarif untuk melindungi pasaran negaranya dan bertambah buruk akibat pengecutan pertumbuhan China yang dalam dua dekad sebelum ini menerajui pertumbuhan dunia.

“Namun, peningkatan eksport sesetengah negara di Timur Tengah seperti Arab Saudi juga menguncupkan lagi ekonomi sedunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata kerajaan wajar menubuhkan pusat kajian harga barangan pengguna dengan pembabitan pakar daripada universiti tempatan bagi memperhalusi implikasi perubahan semasa harga runcit minyak.

“Penurunan harga minyak memang melegakan pengguna, tetapi jika harganya naik, barangan lain turut mengalami kenaikan sekali gus menambah beban pengguna, meningkatkan tekanan dan mempengaruhi banyak aspek lain.

“Justeru kita berharap Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat mempertimbangkan faktor kemanusiaan supaya pengguna menikmati keselesaan sekali gus tidak lagi dibebani kenaikan harga barang.

“Selain itu, bantuan subsidi perlu dimanfaatkan kepada perkara lain misalnya menggunakan dana itu untuk mengambil alih konsesi lebuh raya hingga tol dihapuskan atau membina pasar raya pengguna supaya kesannya lebih berpanjangan,” katanya.