IPOH: Semua pemimpin dan ahli Umno Perak mesti bertenang berikuan tular berita kononnya akan wujud satu blok persefahaman antara parti itu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu belum dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi Umno dan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pimpinan parti.

“Apa yang kita dengar dan baca dalam media sosial hanyalah “andaian” dan “tanggapan” yang belum sahih.

“Bagaimanapun, sebagai pemimpin dan ahli parti, adalah lebih baik untuk kita menunggu sehingga mesyuarat Biro Politik dan Mesyuarat MKT yang akan diadakan diadakan pada 7 Feb ini supaya kita semua mendapat kepastian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saarani berkata, setiap ahli mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing, namun biarlah ia dilontarkan secara rasional dan tidak bersifat emosional.

“Selagi pandangan itu rasional, saya percaya ia akan didengar dan dinilai sebaiknya oleh pucuk pimpinan parti sebelum apa-apa keputusan besar dibuat,” ujarnya.

Katanya, jika mereka terus berpolemik, bertelagah serta bercakaran dalam isu yang belum pasti itu, dikhuatir ia hanya akan menggambarkan seolah-olah mereka sedang berada dalam keadaan lemah di mata pihak lawan.

“Saya tetap percaya bahawa kita semua mempunyai niat yang sama iaitu memastikan parti yang kita sayangi ini terus relevan dalam era politik yang semakin mencabar.

“Namun, janganlah nanti perbezaan pandangan yang dibuat secara emosional akan menjerumuskan kita dalam bahana perpecahan,” katanya.

Saarani berkata, perjuangan mereka masih panjang dan masih ramai yang menaruh harapan kepada Umno dalam memperjuangkan nasib rakyat ketika ini.

“Jangan nanti perbalahan seperti ini menyebabkan kita longlai lalu tergelincir dari landasan perjuangan membela nasib rakyat,” ujarnyaz

Beliau percaya, apa pun keputusan yang akan dibuat akan mengambil kira pendapat dan pandangan semua peringkat termasuk akar umbi yang tidak pernah jemu berjuang bagi mengembalikan kekuatan parti.