IPOH – Kerajaan Persekutuan memuji kerajaan negeri Perak di atas kejayaan menganjurkan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA CIX) yang disifatkan telah mencatat sejarah tersendiri dalam temasya itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, penganjuran 427 acara daripada 29 jenis sukan di 39 lokasi pertandingan dan 19 lokasi penginapan atlet di kesemua 12 daerah di negeri ini merupakan pertama kali dibuat.

Menurut beliau, pendekatan yang diambil itu memberi peluang kepada seluruh rakyat, termasuk di luar bandar untuk menyaksikan acara-acara yang dipertandingkan di samping memperkenalkan tempat-tempat tarikan pelancongan.

“Perak kini boleh berbangga kerana memiliki kemudahan sukan yang setanding dengan negeri-negeri lain kalau tidak pun lebih baik dengan terbinanya kemudan sukan bertaraf antarabangsa untuk kejohanan SUKMA ini seperti Pusat Akuatik Tuanku Zara, Kompleks Menembak Darul Ridzuan dan Stadium Ragbi yang pertama di Malaysia.

“Prasarana sukan yang dibina ini bukan sahaja memenuhi piawaian antarabagsa tetapi juga memaparkan fasa yang menarik yang beridentitikan Perak dan rakyat Perak harus berbangga dengannya” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penutup SUKMA ke-19 di sini pada Sabtu.

Justeru itu, beliau berharap segala prasarana yang telah dibina untuk penganjuran temasya itu digunakan sebaiknya oleh semua pihak dengan optimum bagi meningkatkan prestasi atlet-atlet ke satu yang boleh membanggakan negara.

“Dengan kemudahan seperti ini tiada sebab mengapa kita tidak boleh menghasilkan atlet-atlet terbaik di peringkat Asia Tenggara, Asia mahupun di peringkat dunia.

“Saya harap dengan wujudnya prasarana sukan yang baharu serta telah dinaik taraf melalui bantuan kerajaan pusat ini, usaha-usaha bagi mencungkil dan membentuk atlet-atlet baru bertaraf antarabangsa dapat dipergiatkan oleh semua pihak yang berkepentingan, khususnya persatuan sukan, Majlis-majlis Sukan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan serta kerajaan-kerajaan negeri,” kata beliau.

Beliau berharap kerajaan Johor dapat memulakan persiapan awal, khususnya dalam mengenal pasti keperluan infrastruktur bagi penganjuran SUKMA ke-20 pada tahun 2020 nanti.

“Perancangan awal untuk membentuk atlet-atlet yang akan mewakili negeri masing-masing haruslah dilaksanakan secepat mungkin.

“Khususnya dalam mencungkil bakat-bakat sukan yang baru selain memperkemaskan kemahiran danprestasi atlet-atlet sedia ada supaya persaingan yang lebih hebat dapat disaksikan di Johor nanti,” tambahnya.