SHAH ALAM – Badan Perhubungan UMNO Selangor hari ini mendesak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menarik balik serta membatalkan segala bentuk perjanjian dengan Statut Rom yang ditandatanganinya baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tindakan itu bukan sahaja membelakangkan Majlis Raja-Raja bahkan ia telah melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menjamin keistimewaan Raja-Raja Melayu.

“Hari ini UMNO Selangor sebulat suara menentang sekerasnya tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom dan kita mendesak kerajaan menarik balik dan membatalkan apa yang ditandatangani sebelum ini.

“Tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom tanpa persetujuan dan perkenan Raja-Raja Melayu, kita anggap sebagai melanggar dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 38 (4) jelas mengatakan tiada undang-undang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diputuskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, ini mesti dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.

“Ini termasuklah Perkara 160 (2) melibatkan undang-undang antarabangsa dan Perkara 159 (5) mengatakan sesuatu undang-undang pindaan kepada Perkara 38 yang menyentuh tentang kuasa Raja, tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja

“Sedangkan Statut Rom tidak pernah dibawa ke Majlis Raja-Raja yang telah ditandatangani oleh kerajaan tanpa perkenan Majlis Raja-Raja,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Selangor, di bangunan UMNO Selangor, di sini, hari ini.

Minggu lalu, pada sidang Parlimen, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengakui bahawa Statut Rom dan 100 perjanjian berkait dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diratifikasi di negara ini tanpa dibawa ke Dewan Rakyat.

Saifuddin berkata, keputusan kerajaan menerima Statut Rom yang sekali gus menjadi pihak dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana yakin tiada pemimpin negara ini berpotensi melakukan kesalahan besar.

Antara empat jenayah serius itu yang boleh dirujuk ke ICC ialah pembunuhan beramai-ramai menghapuskan etnik, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.

Ismail Sabri juga melahirkan kebimbangan kerana kekebalan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu bakal hilang kerana boleh dirujuk kepada ICC dan mengetepikan hak untuk dibicarakan di dalam mahkamah khas.

“Apabila kesalahan dilakukan oleh Raja-Raja Melayu, Perlembagaan memperuntukkan supaya dibuka Mahkamah Khas untuk membicarakan jika ada kes yang melibatkan Raja-Raja Melayu.

“Tapi dengan menandatangani Statut Rom ini, Mahkamah Khas pun tidak diperlukan tetapi Raja-Raja Melayu terutamanya YDPA boleh dirujuk terus atau dihadapkan terus ke ICC.

“Ini kita anggap mencabuli kedaulatan kita kerana campur tangan daripada negara asing dalam negara kita terutamanya melibatkan Raja-Raja Melayu,” tegasnya.

Beliau juga mempersoalkan pendirian Kerajaan PH yang terburu-buru menandatangani Statut Rom sedangkan negara-negara jiran di Asia Tenggara dan negara-negara kuasa besar tidak menandatanganinya.

“Indonesia misalnya tidak menandatangani, Singapura tidak menandatangani, Thailand tidak menanadatangani, tiba-tiba kita bersama dengan Kemboja yang menandatangani.

“Filipina telahpun menandatangani tapi sekarang menarik diri keluar, jadi tidak lagi berada sebagai ahli di dalam Status Rom

“Negara-negara kuasa besar tidak menandatangani seperti Amerika Syarikat, Rusia, China, India pun tidak tandatanganinya.

“Negara-negara Beraja lain juga tidak menandatangani, tiba-tiba Malaysia begitu terburu-buru menandatangani dengan membelakangkan Majlis Raja-Raja,” katanya. – MalaysiaGazette