AYER KEROH : Barisan Nasional (BN) Melaka mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu menerusi gabungan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, ketika mengumumkan perkara itu, turut mengesahkan penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia daripada PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis, dan ADUN Pengkalan Batu daripada DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee, dalam gabungan Perikatan Nasional .

“Ketika ini BN mempunyai 13 ADUN, ditambah dua ADUN BERSATU iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) selain Jailani dan Norhizam menjadikan kita mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Secara rasminya, kerajaan negeri ketika ini tidak berfungsi dan Perikatan Nasional akan mengambil alih pentadbiran negeri,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.