IPOH – Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) sedang meneliti cadangan untuk memberi peruntukan yang sama rata di antara pihak kerajaan dan juga pembangkang.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, cadangan tersebut akan diteliti dengan mengambil kira faktor-faktor seperti keadaan kewangan semasa, dasar dan hala tuju kerajaan negeri serta pemakaian peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.

“Suka saya jelaskan kerajaan ini tidak sama sekali mengamalkan politik berdendam atau dengan izin, “vengeance polic” seperti yang dibangkitkan.

“Kerajaan baharu ini juga komited untuk meneruskan peruntukan tahunan sebanyak RM50,000 kepada setiap 59 Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya ketika mengulung titah diraja pada sidang DUN, di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Faizal, kerajaan negeri juga telah menyediakan sebuah pejabat, kereta rasmi, dua pegawai khas, seorang pemandu dan elaun tambahan setiap bulan kepada Ketua Pembangkang.

“Ini adalah selari dengan amalan gagasan politik matang, sejajar dengan tuntutan konvensyen Parlimen negara komanwel yang mewajibkan supaya jawatan Ketua Pembangkang diiktiraf kedudukannya.

“Untuk makluman, Unit Protokol dan Istiadat Setiausaha Kerajaan Perak juga akan menjemput semua ADUN termasuk Kerajaan dan Pembangkang bagi program rasmi Kerajaan yang tertentu contohnya sambutan Hari Kebangsaan, Maulidur Rasul dan Maal Hijrah,” ujarnya.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang turut mencuri tumpuan dewan apabila menjawab soalan sindiran yang diajukan oleh Ketua Pembangkang Datuk Saarani Mohamed (Kota Tampan – BN) yang mahu Menteri Besar itu berjanji kerajaan negeri tidak akan menyekat permohonan wakil-wakil BN atau PAS untuk mengunakan dewan orang ramai.