ALOR SETAR: Kerajaan bersedia menyemak senarai barangan yang tertakluk di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) termasuk penambahan pengecualian terhadapnya jika ada keperluan mendesak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata walaupun kerajaan bersedia mengubahsuai senarai sedia ada, namun ia harus dilakukan dengan cermat berikutan sebarang pengurangan atau pengecualian baharu menjurus kepada kehilangan hasil.

“Kita bersedia menyemak jika ada keperluan namun pengurangan itu bermaksud kerajaan kehilangan hasil jadi kerajaan harus cermat meneliti dan harus melakukan pengiraan kalau kadar SST diturunkan lima peratus terhadap sesuatu barangan misalnya, ia membawa kehilangan berapa banyak hasil?

“Saya fikir ia adalah proses berterusan di mana jika ada keperluan mendesak contohnya dalam isu tayar celup sebelum ini SST yang dikenakan ialah 10 peratus namun dikurangkan kepada lima peratus berikutan maklum balas daripada industri menyatakan banyak kekangan dalam perniagaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat sebuah pusat jualan dan penyelenggaraan kenderaan, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, pihaknya melihat Kementerian Kewangan bersifat fleksibel dalam membuat penambahbaikan barangan di bawah SST, sekali gus membawa maksud senarai sedia ada bukanlah bersifat ‘rigid’.

Katanya, meskipun senarai semua barangan sudah dimuktamadkan sebelum ini, namun Kementerian Kewangan bersama pihaknya turun padang untuk mendengar maklum balas jika perlu adanya pengubahsuaian.

Mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk mengecualikan SST terhadap beg plastik yang digunakan untuk membungkus beras, Saifuddin berkata kelebihan itu diharap mampu memberi kesan kepada harga produk terbabit di pasaran.

Beliau berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk turut sama mengecualikan SST terhadap beg plastik yang digunakan pengilang pengeluaran makanan selain beras.

“Saya ada melawat kilang memproses makanan dan antara barangan yang dikenakan SST ialah plastik jadi saya akan berbincang kembali bersama Guan Eng apakah pengecualian boleh diberikan bagi bekas plastik yang digunakan pengilang memproses makanan, ” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, sebanyak 211 notis kesalahan dikeluarkan kepada premis perniagaan membabitkan pengilang, pengimport, peruncit dan pengedar melalui Ops Catut 5.0 yang bermula sejak pelaksanaan SST, 1 September lalu.

Beliau berkata, 152 notis dikeluarkan di seluruh negara mengikut Seksyen 53A Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 atas kesalahan kegagalan premis menyimpan rekod dan dokumen perniagaan.

“Manakala sebanyak 59 notis lagi dikeluarkan mengikut Seksyen 21 akta sama iaitu kegagalan premis menunjukkan semua maklumat urus niaga dan bil perniagaan mereka.

“Notis ini dikeluarkan oleh pihak penguat kuasa kementerian yang memeriksa 6,228 premis perniagaan dalam tempoh 10 hari sejak 1 September lalu di seluruh negara, ” katanya – berita harian