ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Selangor diminta tidak berdolak dalih dan menghalang projek pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan Perskeutan kerana ia adalah demi kemudahan kepada seluruh rakyat.

Sehubungan itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menempelak Kerajaan Selangor kerana mendakwa tidak menerima permohonan tanah untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) daripada Malaysia Rail Link Snd Bhd (MRL).

“Perkara ini sudah dibangkitkan dalam taklimat kepada semua Menteri Besar pada mesyuarat Majlis Fizikal Negara.

“Pada ketika itu Kerajaan Negeri Selangor yang diwakili EXCO (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dan mereka memaklumkan akan memberi kerjasama untuk melaksanakan projek ini.

“Jadi macam mana ia boleh bercanggah? Jadi kita harap Kerajaan Negeri Selangor jangan halang projek ini kerana ia akan merugikan rakyat,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian Kecil dan Sederhana dan Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chan Khim yang mendakwa tidak menerima permohonan tanah untuk projek itu.

Mengulas lanjut, Noh berkata, ini masalah yang akan berlaku apabila mesyuarat yang sepatutnya dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali tetapi yang datang orang lain.

“Ini masalah bila Kerajaan Persekutuan adalah Barisan Nasional (BN), manakala kerajaan negeri pula pakatan, jadi carca merba. Kesannya kepada rakyat.

“Ini bukan kali pertama masalah seperti ini berlaku, pelbagai lagi projek pembangunan untuk rakyat menjadi masalah apabila berbeza parti,” katanya.

Noh sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke Flat Taman Seri Gemilang di sini.

Pada lawatan berkenaan, beliau mengumumkan peruntukkan RM3 juta merangkumi kerja baik pulih, penyelengaraan dan membina dewan futsal di flat berkenaan – berita harian