KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Amirhamzah Karim mempersoalkan tindakan kerajaan yang mahu membeli tanah di Kampung Baru pada harga rendah.

Katanya, harga yang ditawarkan seharusnya berpatutan dengan nilai tanah semasa iaitu RM 2,000 satu kaki persegi.

“Di situ (Kampung Baru) tanah itu adalah nilai dia RM 2,000 kaki persegi, kenapa nak beli RM850 saja, kenapa tidak nilaikan pada harga semasa.

“Kalau dengan harga murah sebegitu, kamu fikir konsep jangka panjang, penjagaan hartanah Melayu di KL (Kuala Lumpur) semua, dia tak seiring,” katanya pada sidang media bersama ahli jawatankuasa DPMM di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Amirhamzah turut menjelaskan kerajaan harus melupuskan konsep penjualan tanah rizab Melayu di bawah harga pasaran.

“Bila tanah rizab Melayu selalunya orang bila nak beli, mesti nilai dia jatuh. Kenapa? Dia boleh beli pada harga pasaran.

“Kenapa di zaman sekarang masih lagi sikap orang mengatakan tanah rizab Melayu mesti di bawah pasaran. Ini adalah sikap yang tidak adil,” katanya.

Sabtu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata harga yang ditentukan bagi pembelian tanah di tempat berkenaan adalah dengan nilai RM650 hingga RM850 satu kaki persegi.

Amirhamzah turut mencadangkan agar pembelian tanah diuruskan melalui proses pajakan tanah kepada penduduk di Kampung Baru.

“Di Singapura pun negeri-negeri yang maju pun (tanah) semua akan dibeli secara pajakan. Pajakan jangka panjang.

“Itulah kaedah sepatutnya yang kita (kerajaan) gunakan dan kaedah itu sebenarnya memastikan bahawa kesinambungan kepunyaan tanah milik orang Melayu itu berterusan sampai bila-bila.

“Kita harap kaedah ini yang patut diteruskan. Jadi pemikiran yang bahawa semua tanah kerajaan kena beli itu patut ditolak sama sekali untuk warisan tanah rizab Melayu,” katanya.

Khalid Samad semasa sesi soal jawab bersama pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru Sabtu lalu turut memberi jaminan bahawa tanah di Kampung Baru tidak akan dijual kepada bukan Melayu.

Katanya, ini seperti termaktub dalam Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu Seksyen 14 (14).

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut berkata usaha pembangunan semula Kampung Baru adalah demi menjaga kepentingan masyarakat Melayu di negara ini, seperti diperuntukkan dalam akta berkenaan.

-MalaysiaKini