PUTRAJAYA: Kerajaan tidak memikirkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau perintah berkurung di seluruh negara pada waktu ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya PKP dilaksanakan sekali lagi, ia akan membawa kesan besar yang dikhuatiri akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara.

“Apa yang akan dilakukan kerajaan adalah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes-kes COVID-19 yang tinggi.

“Dengan ini, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

“Saya percaya kesiasiagaan sistem kesihatan kita akan membolehkan kita menangani penularan COVID-19 tanpa perlu kita menutup sektor ekonomi yang pernah kita lakukan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perutusan Khas Situasi Semasa COVID-19 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi beliau pada Selasa.