IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid menjelaskan, beliau tidak menjawab soalan tambahan mengenai Movie Animation Park Studios (MAPS) walaupun didesak oleh pembangkang kerana terikat dengan peraturan Bursa Malaysia.

Menurut beliau, pemegang saham utama MAPS, PCB Development Sdn Bhd adalah anak syarikat Perak Corporation Berhad (PCB) yang tersenarai di Bursa Malaysia dan kerajaan tidak boleh terlibat di dalam keputusan komersial syarikat.

Disebabkan itu, kata beliau, sebarang pengumuman atau komen tidak boleh dibuat secara sembrono, sebaliknya perlu melalui Bursa Malaysia.

“Kita ada undang-undang, ada peraturan Bursa Malaysia, tidak boleh buat kenyataan sembarangan kerana ia boleh melibatkan pegangan-pegangan umum dalam syarikat-syarikat awam.

“Dewan bukan platform yang betul untuk menjawab soalan-soalan yang ditanya, platform yang betul boleh dikemukakan di AGM (mesyuarat agung tahunan) PCB kerana ia melibatkan keputusan komersial dan sebagainya,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Terdahulu, sidang Dewan Undangan Negeri kecoh kira-kira 15 minit apabila wakil rakyat pembangkang terus mendesak beliau menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (DAP-Canning) mengenai kos yang dibelanjakan PCB Development Sdn Bhd untuk membeli saham MAPS sehingga boleh menguasai 51 peratus.

Zahir berkata, kerajaan terikat dengan kekangan peraturan yang tidak membenarkan sebarang komen, yang jika dilakukan juga, adalah menjadi satu kesalahan bursa.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan negeri akan sentiasa mematuhi undang- undang dan peraturan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Beliau turut menafikan dakwaan wakil rakyat pembangkang kononnya hutang MAPS dengan institusi perbankan sebanyak RM1.9 bilion sedangkan dakwaan awal mereka kos taman tema itu RM520 juta.

“Bank manalah yang nak beri pinjaman sehingga RM1.9 bilion untuk pelaburan atau aset RM52 juta, tidak ada bank yang hendak beri, saya tidak tahu mana dia dapat itu,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan wakil rakyat pembangkang supaya jangan terlalu mensasikan sesuatu isu walaupun pilihan raya umum sudah hampir.

“Kata orang tua-tua, simpan sikit bodoh itu, jangan tunjuk semua. Jangan hentam kromo sahaja, sebelum bercakap, kena fikir dahulu kepentingan umum, lebih-lebih yang yang melibatkan audit dan keselamatan.

“Ini bukan cara orang yang boleh diberi kepercayaan untuk menerajui negeri dan negara, mereka bercakap tanpa memikirkan kesan kepada masyarakat,” kata Zahir.