GEORGETOWN: Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak membenarkan kerajaan DAP Pulau Pinang melaksanakan penurunan harga jualan rumah bernilai RM1 juta kepada RM800,000 khusus untuk pembeli asing.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata tindakan kerajaan negeri itu dilihat membelakangkan rakyat tempatan, khususnya yang masih belum mampu memiliki kediaman sendiri.

“Jika pemaju atau kerajaan negeri mahu mengurangkan atau menaikkan harga rumah, permohonan itu perlu dihantar kepada KPKT untuk dilaksanakan.

“Dalam hal ini, jika permohonan kerajaan negeri mahu turunkan harga rumah untuk pembeli luar negara, kita tidak akan sokong, ” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Geran Tahunan bagi Perbelanjaan Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Parti GERAKAN negeri, Oh Tong Keong, baru-baru ini, yang mendedahkan kerajaan DAP Pulau Pinang bakal menurunkan harga jualan rumah bernilai RM1 juta kepada RM800,000 khusus untuk pembeli warga asing.

-BeritaHarian