PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Pasukan Khas Siasatan 1MDB itu akan membuat siasatan, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan jenayah dalam pengurusan syarikat berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri berkata pasukan khas berkenaan ditubuhkan selepas dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pasukan khas itu akan diketuai bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid bin Bador.

“Keanggotaan pasukan ini akan terdiri daripada SPRM, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan beberapa peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

“Pasukan khas ini akan bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca daripada salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam dan luar negara,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pasukan khas itu juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kerjasama dengan pelbagai pihak agensi penguatkuasaan di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang berkaitan.

“Kerajaan berharap penubuhan pasukan khas ini dengan pembabitan pelbagai agensi penguatkuasaan akan berupaya mengembalikan maruah negara yang tercemar selama ini, selain mengembalikan wang dan aset rakyat Malaysia berikutan skandal kleptokrasi hasil salah laku dan penyelewengan dana 1MDB,” kata kenyataan itu – berita harian